Hari demi hari..minggu silih berganti..diam tak diam rupanya sudah hampir sebulan aku menjalani latihan industri. Walaupun pengalaman bekerja masih cetek tetapi ilmu yang aku perolehi ini masih dirasakan satu anugerah yang amat berguna untuk perjalanan masa hadapanku yang masih kabur dengan segala macam halangan yang mesti aku tempuhi sebagai pelajar.
Seperti kebiasaannya pada hari Ahad di Jasa Merin akan diadakan satu sesi taklimat oleh bahagian Keselamatan dan Kesihatan (HSE)bagi menerangkan dan menjelaskan kepada pekerja-pekerja tentang tatacara menjalankan kerja dengan betul di tempat kerja bagi memastikan tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku. Pada minggu ini, Encik Talib (Ketua Bahagian HSE)telah diamanahkan untuk menyampaikan taklimat tersebut. Setelah selesai taklimat, pihak syarikat menyampaikan sedikit saguhati kepada pekerja-pekerja yang bakal menimang cahaya mata tidak lama lagi. Pemberian saguhati ini diharapkan dapat menyuntik semangat baru agar pekerja berusaha dengan lebih gigih lagi untuk menaikkan nama syarikat.
Secara amnya, minggu ini tumpuanku lebih terarah kepada kerja-kerja yang berkaitan dengan dokumen-dokumen kapal seperti Material Requisition, Internal Purchasing Request, Vessel Certificate, Engine Daily Report dan Master Daily Report. Semua ini dibuat atas pertolongan rakan praktikal yang lebih senior iaitu Firdaus termasuk pekerja yang lain. Pada minggu ini juga aku telah diarahkan untuk membantu En.Osman (Pegawai IT) untuk memasang perkakasan komputer peribadi yang baru di bilik enjin JM Murni. Tugas ini hanya dilaksanakan apabila JM Murni berlabuh di Pengkalan Bekalan Kemaman (KSB). Kerja-kerja pemasangan telah berjalan dengan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.
Dalam kesibukan bertugas tersebut, pihak syarikat tidak mengabaikan kebajikan kepada para pekerjanya dengan mengadakan kegiatan beriadah untuk mereka dengan mengadakan perlawanan futsal pada setiap minggu. Kegiatan ini secara tidak langsung dapat memupuk semangat setiakawan dan sepasukan dikalangan pekerja. Juga pada 1 Mei 2010 pihak syarikat mengadakan program mencandat sotong sempena bulan mencandat sotong di Terengganu. Seramai 12 orang telah mengikuti program ini termasuklah aku sekali. Hasil yang diperolehi amat memberangsangkan dan kemungkinan besar akan diteruskan pada tahun hadapan.
==END==
Installment new computer for JM Murni
At JM Murni engine room control
Jasa Merin grapnel squid activity at Marang
Monday, May 3, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment